Biasanya bila bercakap tentang kencing manis, ramai yang menganggap ianya penyakit yang hanya menyerang orang tua sahaja, kan?
Ramai juga yang menyangka bahawa kencing manis ini merupakan sejenis penyakit sahaja, kan?
Sebenarnya tidak, kencing manis boleh berlaku pada orang muda juga malah terdapat pelbagai jenis penyakit kencing manis yang anda perlu tahu.
Jom kita ketahui lebih lanjut tentang kencing manis dan cara untuk anda tangani masalah ini.
Bagaimana Kencing Manis Terjadi?
Sebelum kita mengetahui bagaimana kencing manis berlaku, perkara penting yang kita perlu tahu adalah tentang pankreas kita.
Pankreas merupakan organ dalam tubuh yang berfungsi untuk mengeluarkan bahan kimia sejenis hormon yang dikenali sebagai insulin.
Insulin membolehkan tisu-tisu menggunakan glukosa dan membantu mengawal paras glukosa dalam darah ke paras yang normal.
Jika insulin tidak mencukupi atau tidak berkesan, paras glukosa akan meningkat dalam darah.
Apabila perkara ini berlaku, makanya anda mengalami keadaan yang dinamakan Diabetes Mellitus atau kencing manis.
Artikel berkait:
Jenis-jenis Diabetes
Berikut merupakan jenis-jenis diabetes yang anda perlu ketahui:
Jenis Diabetes Satu
Jenis ini juga dikenali sebagai penyakit kencing manis yang bergantung kepada penggunaan insulin.
Lazimnya, diabetes kategori satu ini dipanggil sebagai diabetes kanak-kanak (juvenile-onset diabetes) kerana biasanya ia bermula pada zaman kanak-kanak.
Diabetes jenis satu merupakan masalah autoimun yang disebabkan oleh badan yang menyerang organ pankreasnya sendiri dengan antibodi
Bagi pesakit yang menghidapi penyakit ini, pankreas yang rosak tidak boleh menghasilkan insulin.
Selain itu, penyakit ini boleh juga disebabkan oleh kecenderungan genetik.
Ia juga boleh disebabkan oleh sel-sel beta yang rosak di bahagian pankreas yang biasanya menghasilkan insulin.
Antara risiko perubatan penyakit ini adalah kerosakan saluran darah kecil di mata (retinopati diabetes), saraf (neuropati diabetes) dan buah pinggang (nefropati diabetes).
Jenis Diabetes Dua
Sebanyak 95% kes kencing manis dalam kalangan orang dewasa adalah daripada kategori diabetes kategori ini menjadikannya penyakit kencing manis yang paling lazim dihidapi.
Diabetes jenis dua ini juga dipanggil sebagai diabetes ornag dewasa (adult-onset diabetes).
Namun, perkembangan semasa menunjukkan bahawa peratusan kanak-kanak yang berlebihan berat badan meningkat maka lebih ramai remaja kini mengalami kencing manis jenis ini.
Bagi pesakit diabetes kategori dua, pankreas biasanya masih mampu menghasilkan insulin.
Walau bagaimanapun, jumlah insulin yang dihasilkan tidak mencukupi untuk keperluan tubuh atau sifat sel-sel tubuh rintang terhadap insulin.
Rintangan terhadap insulin atau kekurangan sensitiviti terhadap insulin berlaku terutamanya dalam sel lemak, hati dan sel otot tubuh badan.
Individu yang obes merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit diabetes jenis ini dan masalah perubatan lain.
Individu obes juga mempunyai rintangan terhadap insulin yang mengakibatkan pankreas perlu bekerja lebih keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin.
Tetapi jumlah insulin masih tidak mencukupi untuk pastikan tahap gula berada pada tahap normal dalam darah.
Diabetes Gestasi
Kencing manis jenis ini berlaku semasa kehamilan dan sering didiagnosis semasa pertengahan atau lewat kehamilan.
Disebabkan tahap gula darah yang tinggi beredar melalui placenta kepada bayi, ia harus dikawal untuk melindungi pertumbuhan dan perkembangan bayi.
Jenis diabetes gestasi biasanya akan pulih selepas melahirkan anak namun 10% wanita yang pernah menghadapi masalah ini berisiko untuk mendapat diabetes jenis dua pada masa akan datang.
Tanda-Tanda Terjadi Kencing Manis
Terdapat tanda-tanda kencing manis yang anda perlu awasi seperti:
Kerap Dahaga Dan Kerap Kencing Pada Waktu Malam
Lazimnya, selalu rasa haus dan sering ke tandas untuk kencing pada waktu malam merupakan tanda kencing manis.
Lebihan glukosa dalam darah membuatkan buah pinggang bekerja dengan lebih keras untuk memprosesnya dan menyebabkan anda sering buang air kecil pada waktu malam.
Apabila air banyak hilang, anda akan menjadi lebih dahaga.
Berat Badan Menyusut Dengan Drastik
Jika berat badan anda menurun secara tiba-tiba walaupun kuantiti makanan yang diambil adalah sama setiap hari, ini adalah antara tanda kencing manis.
Walaupun penurunan berat badan mungkin berita baik untuk sesetengah orang, anda perlu berhati-hati kerana salah satu tanda kencing manis adalah kegagalan badan untuk memproses glukosa sebagai tenaga.
Hal ini menyebabkan ia mula memecahkan otot dan lemak untuk menghasilkan tenaga.
Jarak Penglihatan Merudum
Simptom ini sering diabaikan sedangkan kandungan gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan perubahan pada bentuk kanta dan mata.
Hal ini menyebabkan seseorang mengalami kabur penglihatan dan jika dibiarkan untuk tempoh yang panjang, ada kemungkinan untuk menjadi buta.
Sering Kebas Tangan Dan Kaki
Kebas, kesemutan atau bengkak pada tangan dan kaki adalah disebabkan kerosakan pada sistem saraf atau pembuluh darah.
Hal ini kerana darah tidak lagi sampai pada huruf saraf anggota badan.
Luka Lambat Sembuh
Pernah dengar orang gunakan terma “manis sehingga potong kaki”, kan?
Hal ini disebabkan diabetes menyebabkan sistem saluran darah rosak yang memberi kesan kepada penyembuhan luka kerana darah tidak dapat disampaikan kepada anggota badan.
Pesakit juga mungkin tidak akan merasa sakit pada bahagian yang luka.
Paling mengerikan adalah apabila luka-luka menjadi teruk dan membusuk sehingga jalan penyelesaian terakhir adalah memotong anggota badan yang terkesan.
Atasi Kencing Manis Dengan Cara Ini!
Antara cara mencega kencing manis yang boleh dilakukan adalah:
Jaga Pemakanan
Cara utama mencegah kencing manis adalah melalui pelan pemakanan yang teratur dan yang paling penting adalah kurangkan pengambilan gula.
Anda juga perlu mengambil lebih banyak sumber serat kerana serat membantu mengurangkan risiko mendapat diabetes jenis dua serta risiko penyakit jantung.
Terdapat dua jenis serat iaitu serat boleh larut (menyerap kandungan air) dan serat tidak larut (tidak menyerap air).
Serat boleh larut dan air akan membentuk gel yang memperlahankan kadar penyerapan makanan dan saluran pencernaan.
Hasilnya, ia akan memperlahankan peningkatan paras gula darah anda.
Serat tidak larut juga dikaitkan dengan pengurangan gula dalam darah selain mengurangkan risiko mendapat diabetes.
Selain daripada jenis makanan yang diambil, anda juga perlu memberi perhatian terhadap saiz hidangan.
Saiz hidangan yang besar menyebabkan anda mengambil sumber karbohidrat atau gula yang tinggi dan mengakibatkan paras gula darah meningkat.
Aktif Bersukan dan Bersenam
Aktiviti fizikal seperti bersukan dan bersenam dapat mengatasi kencing manis kerana ia membantu sel tubuh badan untuk meningkatkan sensitiviti terhadap insulin.
Apabila anda bersenam, jumlah insulin yang diperlukan untuk mengawal kadar gula dalam darah akan semakin berkurang.
Kajian mendapati bahawa senaman berintensiti tinggi boleh meningkatkan sensitiviti insulin sebanyak 51% manakala ia meningkat sebanyak 85% untuk senaman berintensiti tinggi.
Kajian lain turut mendapati bahawa gaya hidup tidak aktif meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat diabetes sebanyak 91%.
Pengurusan Berat Badan
Walaupun bukan semua penghidap diabetes merupakan individu yang mempunyai berat badan berlebihan tetapi kebanyakannya tergolong dalam golongan tersebut.
Individu yang mempunyai pradiabetes cenderung untuk mendapat pertambahan berat badan di tengah dan sekitar organ tubuh yang dikenali sebagai lemak viseral.
Lemak visceral yang berlebihan menggalakan keradangan dan kerintangan insulin sekali gus meningkatkan risiko untuk mendapat kencing manis.
Terdapat kajian yang mendapati, setiap kilogram yang berjaya dikurangkan, risiko untuk mendapat diabetes berkurangan sebanyak 16%.
Berhenti Merokok
Berhenti merokok bukan sahaja baik untuk kesihatan pernafasan dan paru-paru anda tepi ia juga dapat mengurangkan risiko anda daripada mendapat diabetes jenis 2.
Terdapat kajian yang mendapati merokok berpotensi meningkatkan risiko diabetes sebanyak 44% dalam kalangan perokok.
Dalam kajian lain, perokok lelaki dewasa yang berhenti merokok mengalami pengurangan risiko diabetes sebanyak 13% setelah 5 tahun berhenti merokok.
Malah, selepas 20 tahun berhenti merokok, risiko mereka untuk mendapat diabetes adalah sama seperti mereka yang tidak pernah merokok.
Kesimpulan
Kencing manis atau nama saintifiknya diabetes merupakan pembunuh dalam senyap dan pembunuh utama di Malaysia selain kanser dan sakit jantung.
Pastikan kesihatan anda berada dalam keadaan yang optimum bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.
Awasi kadar gula dalam darah anda dan pastikan anda menjalankan kehidupan yang aktif dan sihat.
Jika anda ingin check kadar gula dalam darah boleh klik link di bawah.
Anda juga boleh Whatsapp kami untuk sebarang pertanyaan.